Sunday, March 15, 2015

Hiasan yang Digantung semata


5 atau 6 tahun yang lalu..

Pengalaman saya yang satu ini, buat saya rasa nak menyorok bawah meja sambil tutup muka saya dengan tudung saji. Okey, ayat mubalaghah! Itu maksudnya, saya MALU.

Ceritanya begini. Pada suatu hari, tempat saya bekerja di datangi seorang non-muslim berbangsa cina.Pada waktu itu saya bekerja di sebuah syarikat pembinaan selaku kontraktor utama.

Lelaki separuh umur itu ialah sub-kontraktor syarikat kami. Dia datang atas urusan tuntutan 'payment'. Oleh kerana 'bos' masih belum masuk, jadi dia menunggu di bahagian hadapan ofis berhampiran ruang kerja saya.

Mungkin sudah bosan, dia melihat-lihat segala macam jenis hiasan yang digantung di dinding ofis. Tidak lama kemudian, dia bersuara dan menyoal saya.

"Apa ini?" soal beliau, sambil menunding jari ke arah hiasan ayat-ayat suci Al-Quran dalam bentuk khat.

Lalu saya menerangkan serba sedikit, bahawa itu adalah ayat-ayat dari Al-Quran. Dia diam.

Kemudian dia menyoal saya lagi, "Apa makna ayat-ayat ini?"

Err..Saya mula terkedu. Adoi! Jujur, saya memang tidak pernah ambil tahu ayat apakah yang tergantung di dinding ofis itu, apatah lagi maknanya.

Saya meneruskan kejujuran saya lalu berkata, "Maaf, saya tak pasti apa maksudnya."

Kemudian, bermulalah episod saya 'disekolahkan' oleh pakcik separuh umur berbangsa Cina itu. Lebih kurang, mafhumnya begini, "Kalau awak tidak tahu makna ayat-ayat ini, mengapa awak mempamerkannya di sini. Ini ayat-ayat dari agama awak, sepatutnya awak tahu."

Selepas itu, saya sudah tidak mendengar lagi butir bicara pakcik Cina itu, walaupun bibir saya masih menguntum senyum kepada beliau dan berlagak seolah-olah saya sedang mendengar ceramah pakcik itu.

Kemudian, kedua-duanya diam. Saya masih berlakon, seoalah-olah saya sedang menyudahkan tugasan saya, sedangkan saya sudah tidak boleh berfikir melainkan 'rasa' untuk menyorok di bawah meja dan menutup muka saya dengan tudung saji.

Kemudian, pakcik Cina itu memohon diri kerana sudah jemu menanti. Kasihan pakcik Cina itu. Urusan 'paymentnya' masih juga tidak dapat diselesaikan hari itu. Tapi, saya rasa dia puas hati juga hari itu kerana sekurang-kurangnya dia berjaya 'sekolahkan' saya.

Sungguh, saya tahu, peristiwa itu bukan semata-mata episod di'sekolahkan' oleh seorang sub-kontraktor non-muslim berbangsa Cina, tetapi ia adalah teguran Allah kepada saya melalui dia. frown emoticon

p/s: Mari belajar Bahasa Al-Quran. Seruan yang sungguh2 dari saya.

11 Oktober 2013

Tajwid

Beberapa hari lepas, kemas-kemas rak buku. Terjumpa kertas saiz A3 ni dalam fail. Teringat kisah disebalik nota ni. Dah berusia 3-4 tahun pun nota ni.

Masa mula-mula masuk kelas talaqqi Quran dengan Ustaz Shukri, selalu kena tegur bacaan tak tepat. Bila bab Mad saja 'kantoi'. Kadang-kadang terlebih 4 harakat, kadang tak konsisten harakat.

Memang diakui sejak dulu lemah bab Mad.Keliru je mad lazimlah, mad badal lah, mad wajib lagi..adoi!! Tiap-tiap minggu kena tegur mana boleh 'tahan'. Akhirnya saya cari kertas A3, cari buku rujukan tajwid dan buat nota ringkas ni. Tampal berhampiran tempat solat. Lepas solat, bila baca Quran dan jumpa 'Mad' rujuk nota ni. Berbulan-bulan jugalah baru lekat. Nak kata dah 'expert' tu taklah, tapi sekarang dah jarang kena tegur.


29 Ogos 2013
* ni kalau anak buah tgk ni, ada harapan kena gelak sakan..Tapi takpelah, dah memang tak pandai kena buat cara tak pandai. sm
ile emoticon
Sementara menunggu kelas seterusnnya bermula, kami sembang-sembang santai bersama Tuan Guru kami.

Tuan Guru bertanya, " Kamu pilih terawikh ada tazkirah atau tidak?"

Seorang-seorang ditanya. Kemudian giliran saya di tanya. Rata-rata teman2 sekelas memilih terawikh yg panjang tanpa tazkirah. Ini bukan soal salah atau tidak. Bukan juga soal mana yg lebih afdal atau kurang afdal. Ini cuma pilihan hati masing-masing.

Bila difikir-fikir dan direnung-renung, pilihan saya dahulu dan sekarang berbeza. Seiring dengan perubahan masa dan suasana. Sejak 3-4 tahun belajar bahasa arab hujung minggu, boleh jugalah faham sikit2 frasa atau perkataan dalam Al-Quran. Mungkin kerana ini saya lebih menghargai terawikh yg panjang bacaan surahnya. Teruja untuk mendengar dan berusaha keras memahami apa yang tuan imam alunkan.

Ahh, itu saya yang baru 0.1-0.2% tahu makna Al-Quran. Tak dapat saya bayangkan para huffaz, para alim ulama yg mahir berbahasa arab dan makna Al-quran. Memahami tafsir.Ilmuan yg tahu balaghah yang mantap. Entah bagaimana indahnya khusyuk solat mereka. Subhana-Allah. Masya-Allah.

Bagi yang mempunyai zuriat, saya kira ibu bapa perlu ada cita-cita tinggi untuk setiap anak-anak mereka belajar bahasa arab dan mempunyai asas yang kukuh dengan bahasa Al-Quran ini. 

Laburkanlah anak-anak sendiri untuk agama. Saya kira ini juga satu bentuk kasih sayang daripada ibu bapa kepada anak.

Indahnya bahasa arab-bahasa Al-Quran-bahasa syurga.

Ramadan Kareem.

15 Julai 2013

Khatam Kitab Durus Balaghah

Semalam kelas kami khatam kitab Durus Al-Balaghah dengan guru Maulana Zaharudin Nawi.

Untuk rekod peribadi saya, kitab ini adalah yang kedua sempurna dikhatamkan secara bertalaqqi dengan beliau. Kitab pertama Qisasun Nabiy oleh Maulana Abu Hasan An-Nadwi.

Belajar kitab ini saya istilahkan sebagai ajaib atau karamah. .Kitab balaghah lebih kurang maksudnya kitab yang membincangkan tentang sastera arab. Huhu..Masa mula-mula tengok kitab ni pun dah pening. Dengan tulisan yang tiada nokhtah, tak tau mana satu point-point penting. Tu belum lagi bab tak faham makna dalam bahasa arab.Sikit tu maknanya-memang sangat sikit. Harapkan tok guru sajalah terjemah dan syarah.

Dalam tok guru dok syarah tu pun entah berapa peratus yang faham pun tak tahu.

Sebab apa saya kata kitab ini ajaib-walaupun tak faham sangat, teksnya memeningkan, namun saya dan rakan sekelas dalam lebih kurang 5-6 orang boleh layan saja. Masuk kelas dan dengar. Bila keluar memang tak buka dah kitab tu.Masuk lagi kelas pada minggu hadapannya. Buka lagi kitab, dengar,Layan saja.Sehinggalah lebih kurang setahun kitab ni dapat dihabiskan.

Betul-betul karamah.smile emoticon. Macam saya pernah dengar Syarah Hikam oleh Dr.Zulkifli Al-Bakri, KARAMAH tu bukanlah pada perkara-perkara pelik-pelik dan ajaib tetapi karamah yang paling tinggi darjatnya ialah Istiqamah. Betullah tu.

Kata kuncinya, Istiqamah. Mudahan-mudahan Allah memberkati ilmu kami dan guru kami walaupun sedikit yang kami dapat.



8 april 2013

Mula


Saya mula kenal bahasa arab ketika di tingkatan satu.
Asalnya bukan dengan dengan niat suci nak ambil subjek bahasa arab.
Cuma nak lari dari rakan kelas yang saya tak berapa berkenan ketika itu.(adoi!).
Berjayalah saya melarikan diri ke kelas Dinamik.Sungguh kurang sopan berlari-lari di dalam sekolah.

Saya belajar dengan kadar minat yang turun naik.
Sebentar-sebentar rasa syok.
Sekejap-sekejap rasa-' Adoi kenapalah aku terjebak dengan subjek ni'.
Sungguh tak ikhlas.Nasib baik waktu tu budak-budak lagi.
Tak berapa nak hadam konsep ikhlas yang sebenar.
Kalau dah tak berapa nak 'budak-budak' masih buat kerja tak ikhlas...memang nak kena pulas.

Berjuanglah saya selama tiga tahun dari tingkat1 ke tinggkat 3.
Berjuang bersama kawan-kawan Dinamik.
Dah nak hampir-hampir ke penghujung.
Tahun nak ambik periksa PMR, ramai yang mohon tarik diri.
Sungguh tak adil, permohonan saya tak diluluskan.
Hanya permohonan budak-budak yang bakal menurunkan peratusan 100% lulus sekolah yang pengetua benarkan.
Maqam saya dalam subjek itu dikatakan masih boleh dipertingkat.
Adilkah semua ini??
Saya dah macam nak putus nafas.

Walaupun saya masih budak-budak, saya tahulah sikit-sikit konsep reda.
Akhirnya saya reda.
Saya kena ambil kertas bahasa arab komunikasi dalam PMR.
Titik.

End up keluar keputusan dengan satu huruf yang bongkok-bongkok.
"C"
Itulah hasil kerja tak ikhlas.

21 Mac 2013