Sunday, March 15, 2015

Lailatu Qadr

Baru-baru ini sempat menonton satu ‘talk show’ Imam Suhaib Web (atau Abang Suhaib Web dari kampung Amerika.Kadang2 beliau memperkenalkan diri begini wink emoticon )
Topik hari itu tentang Ramadan dan Lailatul Qadr. Sangat menarik.

Boleh dikatakan beliau antara ‘scholar’ yang saya suka cara penyampaiannya. Salah satu sebab ialah kerana beliau kerap mengaitkan ayat-ayat Al-Quran dengan ilmu Balaghah.

[ Ilmu Balaghah itu, apa?]

Ilmu Balaghah itu salah satu daripada cabang ilmu Bahasa Arab. Ia mengetengahkan tentang gaya bahasa atau uslub yang digunakan dalam pembicaraan dan penulisan.

Alhamdulillah, saya dan beberapa rakan Basooir sempat menadah kitab kecil tentang ilmu Balaghah bersama guru kami Maulana Zaharudin Nawi. Walaupun pada peringkat permulaan subjek ini kadang kala memeningkan kepala tetapi saya tak boleh nak menolak yang ia satu subjek yang sangat menarik dan mengujakan!

Apabila Imam Suhaib Web sentuh sedikit aspek balaghah dalam surah Al-Qadr dalam ‘talk show’nya, saya ‘excited terlebih’. Tak berkelip mata melihat dan tegak telinga cuba menangkap setiap butir bicara. Almaklum, konon dah belajar ilmu balaghah tentulah teruja nak praktis ilmu yang ada walaupun sedikit.

Imam Suhaib menyebut bahawa Allah mengulang-ulang perkataan ‘Lailatul Qadr’ (ليلة القدر) dalam surah itu sebanyak 3 kali tanpa menggunakan kata gantinama. Sebetulnya untuk menyebut ‘lailatul Qadr’ yang seterusnya boleh juga digantikan dgn kata ganti nama.

Contohnya seperti ayat, ‘Ali makan nasi. ‘Dia’ makan dengan tertib. ‘Dia’ makan menggunakan tangan 
kanan.

Tetapi Allah memilih untuk mengulang-ulang perkataan ‘lailatul qadr’ tanpa menggunakan kata ganti nama.

[Apa faedahnya? Atau Apa rahsianya?]

Seni dan ilmu seperti inilah yang dikaji oleh ulama-ulama terdahulu. Seterusnya ilmu ini dibincangkan dalam Pengajian Balaghah di bawah ilmu Ma’ani .

[Apa itu Ilmu Ma’ani?]

Ilmu Ma’ani membahaskan tentang cara penyusunan kalimat agar sesuai dengan tuntutan dan keadaan. Di bawah ilmu Ma’ani memang ada perbincangan khusus tentang التكرار (Pengulangan). Ia menerangkan tentang fungsi dan faedah takrar (التكرار) atau pengulangan.

Antaranya ulama menyebut faedah التكرار pada frasa ليلة القدر (lailatul qadr) adalah untuk makna tanbih (beri peringatan) dan takzim (mengagungkan).

Apakah maknanya?

Maknanya pengulangan perkataan ليلة القدر untuk memberi peringatan kepada pembaca Al-Quran tentang betapa penting dan hebatnya malam Al-Qadr ini.

Pengulangan ليلة القدر juga untuk memberitahu betapa agungnya malam ini berbanding malam-malam yang lain.

Subhana-Allah.

Indah dan mempesonakan, bukan. Ini baru sedikit sahaja ilmu dari cabang-cabang ilmu Bahasa Arab yang ada. Mendalami Bahasa Arab amat membantu kita memahami dengan lebih baik ayat-ayat Al-Quran. Ia juga menambahkan ‘zouq’ atau rasa ketika membaca dan menghayati Al-Quran.

Hal-hal seperti inilah yang membuatkan cinta saya kepada Bahasa Arab kian mendalam pada setiap detik waktu.

Sahabat-sahabatku yang baik, marilah belajar Bahasa Arab. Sukar untuk saya gambarkan kenikmatan dan keindahan mempelajarinya. Kita semua hanya perlukan langkah pertama, sedikit bersabar,dan istiqamah. Seiring dengan ini semua mohonlah doa dan pertolongan daripada Allah agar dipermudahkan niat dan usaha kita untuk belajar Bahasa Arab.


Nyamuk Betina

[Bahasa dari Langit]

Setelah beberapa tahun belajar Bahasa Arab (dan masih belajar).Saya menyedari bahawa belajar bahasa Arab bukan sekadar untuk faham makna ayat secara literal. Contohnya seperti kita memahami ayat di dalam Bahasa Inggeris-‘The car belongs to Zaid’.

Sudah memadai jika kita faham ayat itu sebagai ‘kereta itu milik Zaid’. Dengan memahami ayat ini kita sudah dianggap mencapai matlamat dalam pembelajaran Bahasa Inggeris.

Tetapi dalam mempelajari Bahasa Arab, dengan memahami makna ayat secara literal kita sebenarnya baru mencapai beberapa % sahaja daripada keseluruhan matlamat belajar Bahasa Arab.

Perkara-perkara seperti inilah membuatkan saya dan kawan-kawan yang sedang berjuang belajar Bahasa Arab ini tenggelam dalam lautan Bahasa yang mengasyikkan.

Pernah satu ketika lebih kurang seminggu kami berbincang dan mencari jawapan tentang satu perkara.
Persoalan tentang ta marbutah (ة) yang berada pada akhiran sesuatu perkataan.

Lazimnya kita mengenal huruf ة pada akhir perkataan, menunjukkan kata nama itu dalam kategori ‘feminine gender’.
Contohnya seperti perkataan مسلمة (muslimah) iaitu wanita Islam. Jika tanpa ة diakhir perkataan iaitu مسلم (muslim) bermakna lelaki Islam.

Ini yang lazim kita ketahui.

Tetapi dalam satu topik yang lain pula tanda ة tidak lagi menunjukkan kepada ‘feminine gender’ secara mutlak. Ia lebih menunjukkan kepada makna ‘tunggal’ (wahdah) dengan memakai istilah isim wahdah atau nomen unitatis.

Contohnya بَقَرٌ bermakna ‘lembu’ secara am iaitu merujuk kepada semua jenis lembu. Apabila
ditambah ة diakhir perkataan بقر itu, menjadi بقرة (baqarah). Namun ia tidak menjadi makna بقرة sebagai lembu betina sebagaimana lazimnya.

Sebaliknya بقرة membawa maksud ‘seekor lembu’ kerana ة untuk kumpulan perkataan seperti ini, berfungsi menjadikan perkataan itu bermakna tunggal atau satu.

Sebagai mubtadi (beginner) topik pembelajaran seperti ini mula membuatkan sel-sel otak kami mula berhubung. Ia membawa kepada perbincangan yang agak hangat di ruang ‘whatsapp’.

Persoalan demi persoalan mula timbul.
[+] Jika ة tidak membawa maksud feminine (dari segi organ jantina), jadi mengapa di dalam terjemahan Al-Quran yang biasa kita baca, perkataan بقرة diterjemah sebagai ‘Lembu Betina’?

[+] Jika ia dikatakan sebagai ‘lembu betina’ apakah petunjuk2 atau syawahid lain dalam Al-Quran yang 
menyebabkan ia diterjemah sebagai ‘lembu betina’?

Perkara-perka seperti inilah yang buat kami sangat merasakan bahawa Bahasa Arab itu sebagai satu 
Bahasa yang sangat unik dan sofistikated. Seperti yang sering saya sebut ‘bahasa Arab benar-benar mengiktiraf keunggulan akal manusia’.

Masih berkisar tentang topik isim wahdah (kata nama tunggal) atau nomen unitatis.
Tidak selesai lagi tentang بقرة, salah seorang daripada kami membawa satu artikel yang menyatakan penemuan sains menemukan hanya nyamuk ‘betina’ yang menggigit dan menyebarkan virus.

Oleh itu ada pengkaji-pengkaji sains mengaitkan penggunaan perkataan بعوضة dalam Al-Quran iaitu dalam surah Al-Baqarah:26 merujuk kepada ‘nyamuk betina’.
Persoalan yang sama masih timbul kepada mubtadi seperti kami :
[+] ة pada perkataan بعوضة bukanlah secara mutlak merujuk kepada ‘feminine gender’ kerana perkataan 
ini juga sama kategori seperti بقرة . بعوضة juga boleh digunakan untuk maskulin.

[+] Jadi kenapa para saintis Islam mengaitkan بعوضة dengan ‘nyamuk betina’? Apakah petunjuk lain dalam ayat Al-Quran tersebut yang membawa kepada ‘nyamuk betina’.

Perbincangan kami menjadi bertambah hangat. Sengaja kami tidak mahu bertanyakan terus kepada guru. Salah satunya kami mahu mencari dahulu jawapan kerana tidak mahu terlalu bergantung kepada guru kami yang dihormati tanpa membuat kajian dan usaha sendiri.

Di dalam kehangatan perbincangan itulah timbul kata-kata salah seorang daripada kami ‘betullah Allah tak malu nak buat perumpamaan denga sekecil-kecil makhluk seperti nyamuk ini. Perkara kecil macam ini pun buat kita pening seminggu’.

Sahabat saya ini merujuk kepada ayat Allah dalam surah al-Baqarah : 26
إن الله لا يستحى أن يضرب مثلا ما بعوضة فما فوقها....
“Sesungguhnya Allah tidak malu/segan membuat perumpamaan seekor nyamuk atau yang lebih kecil daripada itu…”

Dan proses inilah membuat kami semakin sedar tentang kebesaran dan kebijaksanaan Allah. Kami juga amat kagum dengan kemukjizatan Al-Quran.

Moga-moga dalam proses belajar ini kami akan berjumpa dan mencapai matlamat makrifatullah lalu membuat hati-hati kami lebih tawaduk dan taqwa kepada Allah.

Wallahu’alam.
Mariam MS
6 Ramadan 1435H
4 Julai 2014

kredit foto : www.kaheel7.com

KUWAITIB..No..No..No

Bahasa Arab memang unik dan hebat. Hari ini jumpa lagi perkara yang menarik perhatian.

Dalam bahasa Arab terdapat pelbagai jenis kata nama. Salah satunya disebut sebagai isim Tasghir (اسم التصغير). -takde kena mengena dengan gila isim.

Isim tasghir digunakan untuk menunjukkan saiz yang kecil bagi sesuatu kata nama.

Ada bentuk binaan perkataan yang dah ditetapkan untuk nak menjadikan ia isim tasghir. Namun saya tidak bercadang membincangkannya di sini.

Contoh isim tasghir yang dekat di hati ialah nama Abu Hurairah, sahabat nabi. Asal gelaran nama beliau dari perkataan Hirrah (هرة) kucing betina dan menjadi Hurairah (هريرة) bermakna kucing betina KECIL.

Saya tertarik dengan kata nama yang ini. Ada kena mengena dengan kerja saya sekarang. Kata nama 'kuwaitib" (كويتب) berasal dari kaatibun (كاتب) penulis.

Apa makna kuwaitib?

Isim tasghir ini digunakan untuk pelbagai tujuan antaranya menunjukkan saiz yang kecil, menunjukkan kasih sayang (seperti panggilan Ya bunaiya-wahai anak kecil) dan merendahkan martabat.

Kuwaitib termasuk isim tasghir yang bertujuan untuk merendahkan martabat. isim ini bermakna PENULIS YANG TIDAK HEBAT". frown emoticon
Aduhai, saya tak nak jadi KUWAITIB!

9 April 2014

Khoir...Ikhtiar

Antara perkara yang sering menarik perhatian saya dan membuat saya ‘terkagum-kagum’ dengan Bahasa Arab ialah satu perkataan arab boleh berkembang dengan banyak dengan makna yang pelbagai dan makna2 itu pula tepat untuk difahami. 

Perkataan2 ini berkembang menerusi wazan2 (bentuk2 asas perkataan) seakan-akan formula dalam subjek sains atau matematik.

Contohnya,sebelum ini saya kagum tetapi tertanya-tanya kenapa perkataan خير (khoir) yang bermaksud ‘baik’ , berada pula bersama perkataan اختيار (ikhtiar) dalam kelompok “akar perkataan” yang sama iaitu
(خ ي ر).

Orang melayu biasa mennggunakan perkataan ikhtiar ini dengan maksud ‘usaha’.

Mengikut kamus hans wehr; خَيْر (bentuk masdar/verbal noun) bermakna – good, excellent, admirable etc.

أختيار (bentuk masdar/verbal noun dari wazan افتعل- يفتعل-افتعال) bermakna – choice, selection, preference.

Maka, pada suatu malam, teka-teki yang bermain2 dalam kepala saya terjawab oleh salah seorang ustaz di tv dalam sebuah program yang membincangkan tentang “menghadapi musibah”. (mungkin juga berkaitan dengan musibah mh370).

Dalam rancangan itu ustaz tersebut memberitahu (lebih kurang faham saya) bahawa dikatakan IKHTIAR (اختيار) itu ialah sesuatu usaha itu mestilah MEMILIH cara, kaedah atau jalan yang BAIK, yang selari dengan syariat Allah.

Jika ikhtiar seorang manusia untuk keluar dari musibah/ ujian dengan cara berjumpa bomoh yang syirik bukanlah dikatakan ikhtiar kerana ia bukan pilihan yang baik.

Masya-Allah. Amazing!
Saya dah jumpa jawapan.


24 Mac 2014

No Pain No غ (gain)

Betullah tu... Tak ada apa pun yang mudah dalam hidup ni. Semua pun perlukan 'work hard'...'work smart' dan segala macam 'work'.

Tidak terkecuali belajar bahasa Arab. Lebih-lebih lagi pada 'pemula lambat dan 'lem'....' macam saya ni. Walaupun susah ia tak semesti mustahil.

Biasanya kita buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh sebab ada dorongan dari belakang dan matlamat yang hendak kita capai di hadapannya nanti.

Macam kita belajar bahasa Inggeris atau matematik (atau subjek yang sewaktu dengannya) masa zaman sekolah dahulu dengan asakan kata2 semakna dengan ini,"kau kena belajar sungguh2 subjek ni. Esok tak pandai, nak kerja macamana? Gelap masa depan tau!"

Jadi,agaknya apa dorongan dan matlamat saya untuk terus belajar bahasa Arab?

Walaupun zaman 'dolu2' saya bukanlah anak murid yang baik dan mendengar kata sangat. Tapi bila kita dah semakin dewasa (boleh juga nak baca: tua) kata-kata dan nasihat guru adalah sesuatu yang saya cuba pegang dengan erat.

Di dalam nota Tatabahasa Arab yang disusun oleh guru bahasa Arab saya, di bahagian mukadimahnya tertulis kata-kata nasihat yang membuatkan hati saya terusik dan tersentak. Lebih kurang, tulisannya begini:

"Jika orang boleh berubah dan berjaya hanya kerana dorongan material, kenapa kita tidak teruja dengan dorongan maknawi yang menjanjikan kesejahteraan hakiki.

Memahami Kalamullah (Al-Quran) seolah-olah mendapat peluang bercakap dengan ALLAH SWT-Tuhan yang menciptakan kita. Kita mungkin rasa bertuah dapat bercakap dengan orang kenamaan atau masyhur dan memahami bahasa mereka.

Tetapi kita tidak pernah TERASA APA-APA apabila membaca Al-Quran, bacaan yang menjadi rutin harian TANPA DIFAHAMI!!"

Ketika itu, untuk beberapa saat saya tertunduk di hadapan nota yang sedang saya baca itu. Kemudian saya mengangkat sedikit kepala saya dan mengalihkan pandangan saya keluar tingkap.

Saya bermonolog sendiri. Ya, maka benarlah kata-kata guru saya itu.

20 Mac 2014


___________________________________

Berangan itu Percuma

Semalam seorang sahabat di group whatsapp (Nisak Basooir) bertanya tentang matlamat saya belajar Bahasa Arab.

Antara beberapa senarai yang saya tulis tentang matlamat saya (sudah tentu bukan matlamat utama) ialah saya ingin buat tesis (master) saya dalam Bahasa Arab.

Aduhai, bila saya baca semula mesej itu kelihatan tinggi menggunung matlamat itu. Macam tak tercapai dek akal. Saya bukan pelajar aliran agama dan belajar Arab seminggu sekali!

Pengsan!

Kemudian sahabat saya memberi respon “why not”. Menurut saya kembali; “Ya, kenapa tidak!”

Ahh, masih belum difikirkan secara serius. Setakat ini hanya angan-angan dan mimpi.
Banyak lagi yang perlu diusahakan.
Yang penting sekarang lawan sikap MALAS, berani dan harus terus istiqamah.

6 Mac 2014

La tahzan

Kata-kata "La Tahzan Inna Allaha ma'ana" memang biasa kita sebut-sebut. Ada sisi menarik yang ingin saya kongsikan bersama khalayak semua.

Kata2 ini dipetik dari ayat Al-Quran Surah At-Taubah:40.

Bagi yang belum ada asas bahasa Arab, pernahkah sahabat2 terfikir kenapa perkataan tahzan (تحزن) huruf akhirnya (nun) dimatikan semasa kita membaca Al-Quran?

Mengapa pula huruf ه dalam perkataan Allah (الله) berbaris atas ?

Hmmm....

Inilah ciri2 unik dan indah dalam bahasa Arab-bahasa Al-Quran.

Belajar bahasa Arab dan menemui sisi2 seni dan indah dalam bahasa Al-Quran ini membuatkan saya LEBIH merasakan KEHEBATAN, KEBIJAKSANAAN DAN KEAGUNGAN ALLAH SWT, juga merasakan betapa kerdil dan sedikitnya ilmu yang saya ada.

Bagi saya, inilah antara matlamat perlu dicapai oleh kita semua. Berusaha untuk mendapatkan rasa itu, dan salah satunya saya mendapatkannya ketika belajar Bahasa arab.

Mahukah sahabat2 mempelajari bahasa Arab dan mengetahui lebih banyak lagi rahsia dan keindahan Al-Quran?

Saya mencadangkan untuk sahabat2 bermula di sini:
http://basooir.com/blog/panduan-langganan-basooir/

4 Nov 2013