Suatu hari.
2 minit selepas tengah malam. Inbox saya menerima mesej ini.
"Kak Mariam...Wani...Dah...Dahhhhhhhh."
(Dah kenapalah agaknya budak ni.)
Sebenarnya saya menerima mesej gembira daripada seorang kawan yang sama-sama belajar bahasa Arab. Kami bertemu di media sosial atas asbab minat yang sama-bahasa Arab. Pada tarikh keramat itu, Wani nak berkongsi kejayaannya menghabiskan bacaan nota tatabahasa Arab dari kulit ke kulit. Lebih kurang 1000++ muka surat!!
Saya ini, antara 'tukang cucuk,'tukang bikin panas' dan 'tukang cabar' kepada dia, supaya cepat-cepat habiskan silibus tatabahasa Arab itu. Untuk misi ini, saya gunakan rotan. Dan dia sedia menyahut cabaran saya.
Wani mengambil masa satu tahun enam bulan bagi tugasan yang amat mencabar ini. Bermula Mac 2014 dan berakhir pada satu tengah malam hening tanggal September 2015. Sepatutnya saya gunakan rotan yang lebih besar!
Wani sudah ada sedikit asas bahasa Arab. Dia pernah berguru dan pergi ke beberapa kelas bahasa Arab. Namun kelas-kelas pengajian itu terpaksa berhenti diseparuh jalan atas banyak sebab. Sebab-sebab yang sama ini juga yang sering melanda hampir keseluruh kelas-kelas pengajian bahasa Arab di tanah air kita yang tercinta ini. Antara banyak-banyak sebab itu, sebab yang ini adalah paling popular :
Faktor murid yang 'syahid' (ponteng 1 kelas, 2 kelas, 3 kelas dan lama-lama terus syahid). Apabila bilangan murid di dalam kelas semakin berkurangan, semangat di dalam kelas juga merundum maka kelas selalunya terpaksa ditutup.
Almaklum, pelajar-pelajar dewasa yang sudah bekerja dan ada yang sudah berkeluarga tentu sahaja ruang waktu untuk menadah ilmu di kelas sering kali terpaksa bersaing dengan komitmen-komitmen yang lain seperti kenduri kahwin, kenduri akikah, mengejar deadline kerja, balik kampung dan seribu macam komitmen.
Inilah cabaran hebat pelajar dewasa yang ingin belajar Arab di kelas-kelas hujung minggu. Natijahnya kita sering berjumpa orang yang minat dengan bahasa Arab tetapi belajar separuh jalan.
Oleh kerana Wani sudah ada asas, tidak mustahil dia boleh menghabiskan nota tatabahasa Arab itu dengan sendiri untuk pusingan pertama. Ini yang sering guru saya sebut satu ketika dahulu. Jika ada murid-murid baharu yang masuk ke kelas-kelas pengajian kitab dan mereka belum pernah menghabiskan silibus lengkap tatabahasa Arab, maka guru saya menyarankan kaedah yang sama.
Pusingan pertama? Ada pusingan yang lain?
Ya, betul. Saya katakan pusingan pertama kerana tidak semestinya bacaan pada pusingan pertama, kita sudah faham kesemua kaedah nahu dan sorof di dalamnya. Baca walaupun tidak faham sepenuhnya juga, adalah satu proses yang penting.
Kenapa, penting?
Pertamanya, cukup sekadar untuk kita mengetahui topik apa yang ada di dalam satu buku tatabahasa Arab yang lengkap. Kita ada idea asas tentang struktur yang membentuk satu sistem tatabahasa Arab. Itu sudah lebih dari cukup. Nanti, pada satu kesempatan yang lain kita boleh merujuk kembali dan melakukan 'study' yang lebih terperinci pada topik-topik yang khusus.
Kedua, supaya motivasi kita terus meningkat atau berjalan di atas lengkungan graf yang meningkat. Ibaratnya seperti kita ada 'List to do' dan ada ruang kotak di tepinya yang perlu kita tandakan 'tick' jika tugasan sudah selesai. Selepas menandakan 'tick' pada setiap tugasan tentulah perasaannya sangat lapang, gembira dan bersemangat untuk menyiapkan tugasan lain. Beri motivasi pada diri sendiri juga penting untuk faktor kelangsungan.
Seperti sahabat saya ini- Wani- dia sekarang sangat teruja meneruskan satu lagi langkah dengan modul bacaan menggunakan buku-buku bahasa Arab yang mengandungi teks-teks cerita yang ringkas dan menarik, sesuai untuk beginner. Untuk sesi bacaan ini beliau melanggan satu modul online di internet. Yang penting, kamu mahu!
Biar bertatih asal melangkah dengan yakin.

No comments:
Post a Comment