'Tidak pernah ada istilah 'terlalu lewat' untuk cari jalan, belajar bahasa Arab,'
Pesanan ini saya dengar dicelah-celah siri ceramah ustaz Hasrizal berkenaan 'Pengurusan Kehidupan berteraskan Surah Al-Kahfi' yang saya tonton menerusi youtube.
Bukan sekali dua saya mendengar para ustaz-ustaz atau ilmuan agama memberi galakan kepada orang awam seperti kita memberikan sebahagian masa yang kita ada untuk mempelajari bahasa Arab aka bahasa Al-Quran. Lebih-lebih lagi apabila mereka perlu mengaitkan ilmu yang ingin mereka sampaikan itu berkaitan dengan bahasa Arab supaya para pendengar mendapat kefahaman yang lebih tepat. Lebih-lebih lagi apabila berkaitan teks-teks Al-Quran dan hadis.
Ustaz Hasrizal menyentuh berkenaan dengan kepentingan 'Tadabbur Al-Quran'. Tidak dapat tidak tadabbur sebenarnya-pada kebanyakkan keadaan- akan menjadi lebih efektif jika seseorang itu memiliki ilmu alat yang berkaitan dengan bahasa Arab. Antaranya penguasaan berkaitan nahu, sorof, balaghah dan lain-lain.
Mukjizat Al-Quran itu sangat hebat. Mengkaji kemukjizatan Al-Quran melalui huruf-huruf, perkatan-perkataan atau ayat-ayatnya sahaja, sudah boleh membuatkan hati kita tersungkur lemah dan tidak berdaya demi mengakui kehebatan dan keagungan sang pencipta 'buku' yang terlalu hebat dan 'bestseller' sepanjang zaman dan melangkaui geografi dunia.
Betapa teliti dan super geniusnya penciptaan ayat-ayat Al-Quran ini, sehinggakan huruf-hurufnya juga Allah pilih agar mesej yang ingin disampaikan, tepat mengena kepada pembaca dan pendengar Al-Quran.
Contohnya perbezaan perkataan عباد ('ibaad) dan عبيد ('abiid). Pada permukaannya,kedua-duanya bermakna yang sama iaitu 'hamba-hamba'. Kedua-dua perkataan ini adalah plural (jamak) iaitu berasal dari singular (mufrad) perkatan عبد ('abdun).
Namun jika diteliti secara lebih mendalam ke dasar, perkataan عباد yang diguna di dalam Al-Quran sering berkaitan dengan hamba-hamba yang baik lagi beriman. Contoh seperti ayat ke 23 dalam surah As-Syuura ;
...ذَٰلِكَ الَّذِي يُبَشِّرُ اللَّهُ عِبَادَهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ
(Limpah kurnia yang besar) itulah yang Allah gembirakan (dengannya): hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh...
Manakala penggunaan عبيد bagi tujuan sebaliknya. Iaitu untuk menyebut berkenaan hamba-hamba kafir dan tidak beriman. Contohnya seperti ayat ke 182 dalam surah Al-'Imran ;
ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيكُمْ وَأَنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ
(Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan perbuatan yang - telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambanya."(3: 182)
Huruf yang membezakan kedua-dua perkataan ini adalah antara ا (alif) dan ي (ya).
عباد menggunakan huruf alif. Manakala عبيد menggunakan huruf Ya.
Cuba kita perhatikan struktur huruf alif. Bukankah ia tegak berdiri dan memperlihatkan kemegahannya. Dalam ilmu tafsir, mendefinisikan alif ini sebagail alif al-'izzah.
Bagaimana pula dengan struktur huruf Ya? Bukankah, struktur huruf Ya seolah-olah terbaring lemah dan tidak bermaya. Ya di dalam perkatan عبيد pula dikategorikan sebagai Ya 'Azillah.
Mari kita uji pula, bunyi ketika menyebut kedua-dua perkataan ini. Tidakkah apabila menyebut perkataan عباد, bukaan mulut kita terbuka luas dan kita membunyikan dengan penuh rasa yakin dan bangga. Sedangkan apabila menyebut عبيد mulut kita seakan-akan segan ingin terbuka dan bunyinya seakan-seakan menjunam menuju ke bawah.
Lihat. Jika kita faham bahasa Arab, dengan melihat bentuk perkataan عباد sahaja-ketika membaca Al-Quran- self-esteem akan meningkat. Kita tahu Allah sedang membicarakan tentang orang-orang yang beriman.
Allah...Allah. Hebat. Tak terkata saya dibuatnya.
Beruntung orang yang memperlajari bahasa Arab dan 'super' beruntung orang yang dapat menguasai dan memahaminya dengan baik.
"Saya rasa kalau kita tak ada bahasa Arab, big portion melalui apa yang Allah offer dalam Al-Quran, kita tak dapat grab kerana kita perlukan bahasa tersebut." (Ustaz Hasrizal)Mari kita renung-renungkan...dan...selamat beramal :)
No comments:
Post a Comment