Monday, October 26, 2015

Tidak Pernah Ada, Istilah 'Lewat'.



'Tidak pernah ada istilah 'terlalu lewat' untuk cari jalan, belajar bahasa Arab,' 

Pesanan ini saya dengar dicelah-celah siri ceramah ustaz Hasrizal berkenaan 'Pengurusan Kehidupan berteraskan Surah Al-Kahfi' yang saya tonton menerusi youtube.

Bukan sekali dua saya mendengar para ustaz-ustaz atau ilmuan agama memberi galakan kepada orang awam seperti kita memberikan sebahagian masa yang kita ada untuk mempelajari bahasa Arab aka bahasa Al-Quran. Lebih-lebih lagi apabila mereka perlu mengaitkan ilmu yang ingin mereka sampaikan itu berkaitan dengan bahasa Arab supaya para pendengar mendapat kefahaman yang lebih tepat. Lebih-lebih lagi apabila berkaitan teks-teks Al-Quran dan hadis.

Ustaz Hasrizal menyentuh berkenaan dengan kepentingan 'Tadabbur Al-Quran'. Tidak dapat tidak tadabbur sebenarnya-pada kebanyakkan keadaan- akan menjadi lebih efektif jika seseorang itu memiliki ilmu alat yang berkaitan dengan bahasa Arab. Antaranya penguasaan berkaitan nahu, sorof, balaghah dan lain-lain.

Mukjizat Al-Quran itu sangat hebat. Mengkaji kemukjizatan Al-Quran melalui huruf-huruf, perkatan-perkataan atau ayat-ayatnya sahaja, sudah boleh membuatkan hati kita tersungkur lemah dan tidak berdaya demi mengakui kehebatan dan keagungan sang pencipta 'buku' yang terlalu hebat dan 'bestseller' sepanjang zaman dan melangkaui geografi dunia.

Betapa teliti dan super geniusnya penciptaan ayat-ayat Al-Quran ini, sehinggakan huruf-hurufnya juga Allah pilih agar mesej yang ingin disampaikan, tepat mengena kepada pembaca dan pendengar Al-Quran.

Contohnya perbezaan perkataan عباد ('ibaad) dan عبيد ('abiid). Pada permukaannya,kedua-duanya bermakna yang sama iaitu 'hamba-hamba'. Kedua-dua perkataan ini adalah plural (jamak) iaitu berasal dari singular (mufrad) perkatan عبد ('abdun). 

Namun jika diteliti secara lebih mendalam ke dasar, perkataan عباد yang diguna di dalam Al-Quran sering berkaitan dengan hamba-hamba yang baik lagi beriman. Contoh seperti ayat ke 23 dalam surah As-Syuura ;

...ذَٰلِكَ الَّذِي يُبَشِّرُ اللَّهُ عِبَادَهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ
(Limpah kurnia yang besar) itulah yang Allah gembirakan (dengannya): hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh...

Manakala penggunaan عبيد bagi tujuan sebaliknya. Iaitu untuk menyebut berkenaan hamba-hamba kafir dan tidak beriman. Contohnya seperti ayat ke 182 dalam surah Al-'Imran ;
ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيكُمْ وَأَنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ
(Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan perbuatan yang - telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambanya." (3: 182) 

Huruf yang membezakan kedua-dua perkataan ini adalah antara ا (alif) dan ي (ya).
عباد menggunakan huruf alif. Manakala عبيد menggunakan huruf Ya.

Cuba kita perhatikan struktur huruf alif. Bukankah ia tegak berdiri dan memperlihatkan kemegahannya. Dalam ilmu tafsir, mendefinisikan alif ini sebagail alif al-'izzah.

Bagaimana pula dengan struktur huruf Ya? Bukankah, struktur huruf Ya seolah-olah terbaring lemah dan tidak bermaya. Ya di dalam perkatan عبيد pula dikategorikan sebagai Ya 'Azillah.

Mari kita uji pula, bunyi ketika menyebut kedua-dua perkataan ini. Tidakkah apabila menyebut perkataan عباد, bukaan mulut kita terbuka luas dan kita membunyikan dengan penuh rasa yakin dan bangga. Sedangkan apabila menyebut عبيد  mulut kita seakan-akan segan ingin terbuka dan bunyinya seakan-seakan menjunam menuju ke bawah.

Lihat. Jika kita faham bahasa Arab, dengan melihat bentuk perkataan عباد  sahaja-ketika membaca Al-Quran- self-esteem akan meningkat. Kita tahu Allah sedang membicarakan tentang orang-orang yang beriman.

Allah...Allah. Hebat. Tak terkata saya dibuatnya.

Beruntung orang yang memperlajari bahasa Arab dan 'super' beruntung orang yang dapat menguasai dan memahaminya dengan baik.


"Saya rasa kalau kita tak ada bahasa Arab, big portion melalui apa yang Allah offer dalam Al-Quran, kita tak dapat grab kerana kita perlukan bahasa tersebut." (Ustaz Hasrizal)
Mari kita renung-renungkan...dan...selamat beramal :)










Friday, October 23, 2015

Dahhhh!



Suatu hari.

2 minit selepas tengah malam. Inbox saya menerima mesej ini.

"Kak Mariam...Wani...Dah...Dahhhhhhhh."

(Dah kenapalah agaknya budak ni.)

Sebenarnya saya menerima mesej gembira daripada seorang kawan yang sama-sama belajar bahasa Arab. Kami bertemu di media sosial atas asbab minat yang sama-bahasa Arab. Pada tarikh keramat itu, Wani nak berkongsi kejayaannya menghabiskan bacaan nota tatabahasa Arab dari kulit ke kulit. Lebih kurang 1000++ muka surat!!

Saya ini, antara 'tukang cucuk,'tukang bikin panas' dan 'tukang cabar' kepada dia, supaya cepat-cepat habiskan silibus tatabahasa Arab itu. Untuk misi ini, saya gunakan rotan. Dan dia sedia menyahut cabaran saya.

Wani mengambil masa satu tahun enam bulan bagi tugasan yang amat mencabar ini. Bermula Mac 2014 dan berakhir pada satu tengah malam hening tanggal September 2015. Sepatutnya saya gunakan rotan yang lebih besar!

Wani sudah ada sedikit asas bahasa Arab. Dia pernah  berguru dan pergi ke beberapa kelas bahasa Arab. Namun kelas-kelas pengajian itu terpaksa berhenti diseparuh jalan atas banyak sebab. Sebab-sebab yang sama ini juga yang sering melanda hampir keseluruh kelas-kelas pengajian bahasa Arab di tanah air kita yang tercinta ini. Antara banyak-banyak sebab itu, sebab yang ini adalah paling popular :

Faktor murid yang 'syahid' (ponteng 1 kelas, 2 kelas, 3 kelas dan lama-lama terus syahid). Apabila bilangan murid di dalam kelas semakin berkurangan, semangat di dalam kelas juga merundum maka kelas selalunya terpaksa ditutup.  

Almaklum, pelajar-pelajar dewasa yang sudah bekerja dan ada yang sudah berkeluarga tentu sahaja ruang waktu untuk menadah ilmu di kelas sering kali terpaksa bersaing dengan komitmen-komitmen yang lain seperti kenduri kahwin, kenduri akikah, mengejar deadline kerja, balik kampung dan seribu macam komitmen.

Inilah cabaran hebat pelajar dewasa yang ingin belajar Arab di kelas-kelas hujung minggu. Natijahnya kita sering berjumpa orang yang minat dengan bahasa Arab tetapi belajar separuh jalan.

Oleh kerana Wani sudah ada asas, tidak mustahil dia boleh menghabiskan nota tatabahasa Arab itu dengan sendiri untuk pusingan pertama. Ini yang sering guru saya sebut satu ketika dahulu. Jika ada murid-murid baharu yang masuk ke kelas-kelas pengajian kitab dan mereka belum pernah menghabiskan silibus lengkap tatabahasa Arab, maka guru saya menyarankan kaedah yang sama.

Pusingan pertama? Ada pusingan yang lain?

Ya, betul. Saya katakan pusingan pertama kerana tidak semestinya bacaan pada pusingan pertama, kita sudah faham kesemua kaedah nahu dan sorof di dalamnya. Baca walaupun tidak faham sepenuhnya juga, adalah satu proses yang penting.

Kenapa, penting?

Pertamanya, cukup sekadar untuk kita mengetahui topik apa yang ada di dalam satu buku tatabahasa Arab yang lengkap. Kita ada idea asas tentang struktur yang membentuk satu sistem tatabahasa Arab. Itu sudah lebih dari cukup. Nanti, pada satu kesempatan yang lain kita boleh merujuk kembali dan melakukan 'study' yang lebih terperinci pada topik-topik yang khusus.

Kedua, supaya motivasi kita terus meningkat atau berjalan di atas lengkungan graf yang meningkat. Ibaratnya seperti kita ada 'List to do' dan ada ruang kotak di tepinya yang perlu kita tandakan 'tick' jika tugasan sudah selesai. Selepas menandakan 'tick' pada setiap tugasan tentulah perasaannya sangat lapang, gembira dan bersemangat untuk menyiapkan tugasan lain. Beri motivasi pada diri sendiri juga penting untuk faktor kelangsungan.

Seperti sahabat saya ini- Wani- dia sekarang sangat teruja meneruskan satu lagi langkah dengan modul bacaan menggunakan buku-buku bahasa Arab yang mengandungi teks-teks cerita yang ringkas dan menarik, sesuai untuk beginner. Untuk sesi bacaan ini beliau melanggan satu modul online di internet. Yang penting, kamu mahu!

Biar bertatih asal melangkah dengan yakin.

Thursday, April 2, 2015

11 Sumpah vs 3 Sumpah


Sebaik habis mendengar tazkirah ringkas Habib Ali di Youtube, saya segera membuat sedikit carian dan kajian. Ada sesuatu yang menarik telah disentuh oleh Habib Ali membuatkan saya gigih mencatat.

Apa lagi. Tentulah yang ada kaitan dengan Bahasa dari Langit.

Saya bertanya Sheikh Gugel melalui beberapa kata kunci.

Waw Qasam- Balaghah- Surah Asy-syam.

Banyak juga nota dan artikel yang ditulis berkenaan Waw Qasam atau Waw Sumpah.
Saya juga merujuk 2 buah buku Balagah dalam bahasa Arab dan 3 buah lagi dalam bahasa Melayu. Saya anggap ini sebagai proses ulangkaji.

Puas dan seronok.

Sebenarnya Habib Ali menyentuh berkenaan kepentingan membersihkan hati dan jiwa yang terdapat di dalam surah Asy-Syam dan bagaimana Allah menggunakan satu gaya bahasa yang signifikan untuk menekankan betapa pentingnya proses membersihkan hati.

Di sini Allah bersumpah menggunakan Waw Qasam (jika kita perhatikan terjemahannya ialah Demi). Allah telah bersumpah 11 kali sebelum menyebut tentang beruntungnya orang yang mensucikan jiwa.

Bukankah jika kita bersumpah di awalnya, sebenarnya kita mahu memperkukuhkan kata-kata yang kita ucapkan selepas itu. Contohnya seperti, "Wallahi, aku tak buat perkara itu!"

Begitu juga biasanya manusia akan lebih yakin dengan percakapan orang lain apabila orang itu mengemukakan lafaz sumpah.

Makanya Allah bersumpah dengan 11 kali sumpahan. Sedangkan jika pun Allah tidak bersumpah kata-kata atau Firman Allah itu Maha Benar.

Demi matahari (1) dan cahayanya(2)
Dan (demi) bulan (3) apabila ia mengiringinya
Dan (demi) siang (4) apabila ia memperlihatkannya dengan jelas
Dan (demi) malam (5) apabila ia menyelubunginya
Dan (demi) langit (6) serta pembinaanya (7)
Dan (demi) bumi (8) serta penghamparannya (9)
Dan jiwa (10) serta penyempurnaannya (11)

Dan selepas 11 sumpah itu berserta satu ayat lagi, maka Allah menyebut,

"Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu"

Menariknya jika seorang manusia itu bersumpah, secara maksimanya dia hanya boleh bersumpah sebanyak 3 kali atau 3 cara iaitu Wallahi (والله) Wabillahi (وبالله), atau watallahi (وتالله).

Sedang Allah di sini bersumpah dengan 11 kali. Jadi masih ragukah kita dengan pesan mensucikan jiwa yang Allah bawakan ini.

Allahuakbar! Indahnya bahasa Al-Quran. Maha Bijaksananya Allah.

Sungguh! Kita akan benar-benar menemukan sesuatu yang memenuhi jiwa jika dapat memahami bahasa Al-Quran ini dengan baik.

Semoga kita takkan pernah lelah dan mengalah dalam usaha ini. Aamiin.





Sunday, March 15, 2015

Iltifat




Satu lagi keajaiban bahasa Al-Quran yang buat mata tak boleh nak katup, jiwa berterusan takjub!
Kaedah ILTIFAT. (tak ada kena mengena dengan lepat pisang. Sikit pun tak ada.)


Dalam surah Al-Fatihah, ayat 1 sehingga 4, jika kita memahami bahasa Arab, setiap ayat-ayat itu menggunakan kata ganti diri ketiga (DIA).

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani” (1)

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam” (2)

الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
“Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani” (3)

مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
“Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat)”. (4)

Kesemua ayat ini (1-4) memuji pada suatu kondisi yang ‘ghaib’. Tiada dihadapan mata.
Tetapi berlaku pertukaran atau pemalingan penggunaan KATA GANTI DIRI ke-3 kepada KATA GANTI DIRI ke-2 (DIA kepada ENGKAU) bermula daripada ayat 5.

Ini yang dinamakan sebagai ILTIFAT-pemalingan- (dalam kaedah atau perbincangan balaghah).

Lihat.

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
ENGKAU sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada ENGKAU lah sahaja kami memohon pertolongan. (5).

Jika mengikut konsistensi atau urutan uslub (gaya bahasa) yang bermula daripada ayat 1, sepatutnya ayat 5 bentuknya begini,

إياه نعبد
DIA sahaja Yang kami sembah...

Namun Allah tidak meneruskan konsistensi itu pada ayat ke 5 dan seterusnya.

Mengapa?

Para ulama telah pun membincangkan uslub Al-Quran ragam sebegini.

Perubahan uslub daripada ganti nama ketiga kepada ganti nama kedua ini sangat memberi manfaat kepada orang yang membaca dan juga mendengar.

Ia memberi rasa BARU dan SEGAR bagi yang mendengar apabila kita beralih dari satu uslub ke satu uslub. Bukankah manusia itu sukakan kepada sesuatu yang baru.

Mungkin juga ia sangat bertepatan dengan kewajipan mengulang-ulang surah Al-fatihah ini pada setiap rakaat solat.

Kebiasaannya proses mengulang-ulang satu perkara itu boleh membuat kita bosan bukan?
Jadi perubahan dari satu uslub kepada satu uslub ini juga boleh membuatkan pendengar (saami') sentiasa berada dalam keadaan sedar sekaligus boleh menarik perhatian.

_____________________________________
Mari mulakan pengembaraan ini.

Apabila seorang hamba memuji satu zat yang sangat layak dipuji dengan lafaz ‘Alhamdulillah’ bersama hati yang sentiasa hadir, dia mendapati dirinya bergerak menuju ke arah Allah.

Dia merasakan dirinya secara terus memuji Allah dari satu sifat kepada satu sifat yang Agung.

Alhamdulillah-puji bagi Allah;
Tuhan sekelian alam- (sifat 1)
Yang Maha Pemurah- (sifat 2)
Yang Maha Pengasih- (sifat 3)

Semakin lama semakin kuat dia merasa dirinya bergerak memuji sifat-sifat
Allah sehingga dia sampai kepada sifat yang ke-4;

‘Yang menguasai hari pembalasan’

Dan dia terus membenarkan, Ya, Allah-lah yang berkuasa terhadap setiap urusan sehingga kepada urusan yang paling klimaks -hari pembalasan-.
Dirasakan gerakannya semakin hampir kepada Allah.

Di sinilah berlakunya pemalingan (iltifat). Zat Allah yang dipuji lewat kondisi ghaib tadi, kini bagaikan ada di hadapannya.

Dia meneruskan dengan lafaz Iyyaka na’budu....
”Hanya ENGKAU yang aku sembah”.
“Hanya ENGKAU, aku mohon pertolongan.”..........

Dia menyembah dan memohon pertolongan dengan kemuncak ketundukan dan khudu’ kepada Allah atas perkara yang sangat penting.

Hidayah dan jalan yang benar.
------------------
Inilah sebahagian keindahan bahasa Al-Quran. Tidak dapat tidak, kita perlu menguasai bahasa Arab untuk lebih memahaminya.

Dan saya masih konsisten untuk mengajak semua (terutamanya diri saya sendiri) untuk bersungguh-sungguh mempelajari dan mendalami bahasa arab-bahasa Al-Quran-.
Bahasa dari langit.

Keindahan, keistimewaan, kemukjizatan Al-Quran hampir mustahil dapat difahami dengan baik secara keseluruhannya jika kita tidak memiliki ilmu alat yang penting ini.

Wallahu’alam.

-sayabudakmasihbelajar-

Sebut Sebahagian


Saya sangat menghargai jika dalam ceramah-ceramah agama, para asatizah itu mengaitkan serba sedikit kandungan ceramah dengan kaedah-kaedah bahasa Arab.

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri antara yang gemar menggunakan metod sebegini.

Biar sedikit namun amat berharga bagi pelajar mubtadi' dan orang awam seperti saya. Sedikit yang membolehkan saya 'refresh' topik-topik bahasa Arab yang telah dipelajari.

Kali ini berkenaan hadis, 'mata yang tidak disentuh oleh api neraka'.

Rasulullah SAW bersabda: “Dua mata yang tidak akan disentuh api neraka untuk selama-lamanya : mata yang menangis karena takut kepada Allah dan mata yang berjaga malam di jalan Allah”.

Ulama membincangkan dari sudut kaedah balaghah, ia termasuk dalam kaedah, 'menyebut sebahagian (juzuk) tapi yang dikehendaki ialah kesemua' (اطلاق الجزء وارادة الكل).

Maksudnya,apa?

Maksudnya, lafaz hadis menyebut mata tetapi yang dikehendaki sebenarnya ialah keseluruhan tubuh. Bukan hanya mata yang tidak disentuh api neraka.

Tepat dan berbekas di hati, bukan?

Dalam menceduk ilmu bahasa dari langit ini, perkara-perkara beginilah yang selalu buat kita rasa loba untuk menggali lagi khazanah yang ada.

Sebab itulah saya dan kawan-kawan selalu rasa nak ajak semua orang di sekeliling belajar bahasa arab. Fitrahnya sememang begitu. Apa-apa yang baik, bagus, hebat sentiasa mendorong kita rasa nak 'share' dengan semua orang.
Jom!
_______________________________
https://www.youtube.com/watch?v=xugRhx0uGhg
(boleh lihat sekitar minit ke 14)
Kaedah balaghah di atas boleh rujuk lanjut kitab-kitab balaghah pada topik Ilmu bayan;majaz mursal.
-budakbarubelajar-

13 Mac 2015

Saling Sabar




"Sifat sabar memang begitu, tuan-tuan. Dalam sabar ini tuan-tuan, bila kita minta orang lain bersabar atas sesuatu ujian, kita pun kena ingat satu hari nanti, kita pun kena bersabar. Dan ada orang lain yang mungkin akan nasihatkan kita, 'sabarlah...' "
Sayup-sayup saja suara ulama yang amat saya hormati dengan keilmuannya, memberi ceramah di televisyen.
TV dibuka tapi dek kerana sibuk menguruskan sesuatu di rumah, saya tidak dapat fokus kepada syarah kitab Hikam hari itu.
Tapi bila, guru yang saya hormati dah sentuh perkaitan dengan bahasa Arab, terhenti sebentar kerja saya. Saya cuba mendengar dengan teliti.
Sambung penceramah di dalam tv,
"Sebab itu di dalam surah Al-Asr, Allah menggunakan wazan tafaa'ala (تفاعل) yang mempunyai makna Tasharuk (saling-تشارك) bila menyebut tentang sabar."
Allahuakbar.
Menusuk ke dalam hati pesan tuan guru itu. Saya bersyukur sangat sebab berpeluang mendalami bahasa Arab. Jadi saya dapat faham serba sedikit apa yang dimaksudkan dengan makna tasharuk dalam kata kerja وتواصوا dalam frasa
وتواصوا بالصبر (berpesan-pesan dengan sabar). Indah dan hebat betul bahasa Al-Quran. Memang kata-kata di dalamnya sentiasa tepat dan baligh dengan makna yang hendak disampaikan kepada manusia.
Sedikit berbeza kalau kita sekadar memahami melalui terjemahan Al-Quran tanpa ada pengetahuan dalam bahasa Arab. Keindahan dan mukjizat Al-Quran itu agak sukar untuk dinikmati dan dihargai.
Saya amat berharap kita semua berpeluang mendalami bahasa Arab dan dapat menghargai mukjizat Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab. Biiznillah.
Pesan guru kami, mukjizat nabi kita bukan tongkat seperti Nabi Musa. Tetapi mukjizat Nabi kita, Nabi Muhammad SAW ialah Al-Quran. Justeru bersungguhlah mempelajarinya.
Wallahu'alam.

Mariam MS
1435H
19 September 2014

Travelog Lughah

Cuba memanfaat peluang dan masa dengan sebaiknya.

[1] Setiap minggu, Sabtu dan Ahad adalah ruang waktu yang dihabiskan untuk saya menadah kitab. (bahasa Arab)

[2] Saya cuma fikir sementara saya masih boleh memberi komitmen dengan status saya sekarang dan saya punya guru yang telah menginfakkan sepenuhnya diri untuk mencurahkan ilmu kepada pelajar Basooir dan dunia ilmu, saya harus merebut peluang ini sebaik mungkin.

[3] Sebab kita tidak tahu di masa hadapan adakah peluang dan kesempatan ini masih terbuka luas seperti sekarang ini.

[4] Pada hari Sabtu pagi bermula jam 8, bermula dengan Kitab Sahih Bukhari.
Kemudian bersambung dengan kitab berkaitan usul hadis (setakat ini telah khatam Mustolah Hadis dan Syarah Baiquniyah).
Selepas Zohor bermula pula kitab berkaitan Balaghah (telah khatam kitab Durus Balaghah dan baru bermula Kitab Talkhis Miftah)

[5] Ahad pula berselang seli dengan Kitab i'rab wa bayanuhu atau kitab Miatul Amil (kitab nahu) atau Kitab Fawzul Kabir (usul tafsir)
Sebelah malam pula, kami bertalaqqi kitab Umdatul Salik melalui skype. Semalam adalah sesi pertama kelas menggunakan skype. Selain memanfaat kan masa dan ilmu guru, pelajar Basooir juga sedaya upaya menmanfaatkan teknologi terkini untuk kemudahan semua.

[6] Dahulu sebenarnya saya tidak terbayang kami-pelajar Basooir- akan sampai ke peringkat ini. Kerana kami bukan dari bidang agama dan belajar bahasa Arab dari kosong sejak beberapa tahun yang lalu.

Semua ini adalah atas belas ihsan Allah SWT kepada kami. Dia yang memudahkan untuk kami semua ini. Syukur kepada-Nya.

Semoga kami semua istiqamah dan terus menjadi orang yang menghargai ilmu dan menjadi orang yang beramal dengan ilmu.

Semoga Allah terus memberkati usaha guru kami, Amiin.

**Foto : Kitab-kitab berbasa Arab yang dipesan dari Mesir telah sampai. Kitab dari pelbagai bidang seperti usul fiqh, usul tafsir, usul hadis dan balaghah dan syair.
Harap berpeluang menadah, membaca dan memahami semuanya.



September 2014