Sunday, March 15, 2015

Iltifat




Satu lagi keajaiban bahasa Al-Quran yang buat mata tak boleh nak katup, jiwa berterusan takjub!
Kaedah ILTIFAT. (tak ada kena mengena dengan lepat pisang. Sikit pun tak ada.)


Dalam surah Al-Fatihah, ayat 1 sehingga 4, jika kita memahami bahasa Arab, setiap ayat-ayat itu menggunakan kata ganti diri ketiga (DIA).

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani” (1)

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam” (2)

الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
“Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani” (3)

مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
“Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat)”. (4)

Kesemua ayat ini (1-4) memuji pada suatu kondisi yang ‘ghaib’. Tiada dihadapan mata.
Tetapi berlaku pertukaran atau pemalingan penggunaan KATA GANTI DIRI ke-3 kepada KATA GANTI DIRI ke-2 (DIA kepada ENGKAU) bermula daripada ayat 5.

Ini yang dinamakan sebagai ILTIFAT-pemalingan- (dalam kaedah atau perbincangan balaghah).

Lihat.

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
ENGKAU sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada ENGKAU lah sahaja kami memohon pertolongan. (5).

Jika mengikut konsistensi atau urutan uslub (gaya bahasa) yang bermula daripada ayat 1, sepatutnya ayat 5 bentuknya begini,

إياه نعبد
DIA sahaja Yang kami sembah...

Namun Allah tidak meneruskan konsistensi itu pada ayat ke 5 dan seterusnya.

Mengapa?

Para ulama telah pun membincangkan uslub Al-Quran ragam sebegini.

Perubahan uslub daripada ganti nama ketiga kepada ganti nama kedua ini sangat memberi manfaat kepada orang yang membaca dan juga mendengar.

Ia memberi rasa BARU dan SEGAR bagi yang mendengar apabila kita beralih dari satu uslub ke satu uslub. Bukankah manusia itu sukakan kepada sesuatu yang baru.

Mungkin juga ia sangat bertepatan dengan kewajipan mengulang-ulang surah Al-fatihah ini pada setiap rakaat solat.

Kebiasaannya proses mengulang-ulang satu perkara itu boleh membuat kita bosan bukan?
Jadi perubahan dari satu uslub kepada satu uslub ini juga boleh membuatkan pendengar (saami') sentiasa berada dalam keadaan sedar sekaligus boleh menarik perhatian.

_____________________________________
Mari mulakan pengembaraan ini.

Apabila seorang hamba memuji satu zat yang sangat layak dipuji dengan lafaz ‘Alhamdulillah’ bersama hati yang sentiasa hadir, dia mendapati dirinya bergerak menuju ke arah Allah.

Dia merasakan dirinya secara terus memuji Allah dari satu sifat kepada satu sifat yang Agung.

Alhamdulillah-puji bagi Allah;
Tuhan sekelian alam- (sifat 1)
Yang Maha Pemurah- (sifat 2)
Yang Maha Pengasih- (sifat 3)

Semakin lama semakin kuat dia merasa dirinya bergerak memuji sifat-sifat
Allah sehingga dia sampai kepada sifat yang ke-4;

‘Yang menguasai hari pembalasan’

Dan dia terus membenarkan, Ya, Allah-lah yang berkuasa terhadap setiap urusan sehingga kepada urusan yang paling klimaks -hari pembalasan-.
Dirasakan gerakannya semakin hampir kepada Allah.

Di sinilah berlakunya pemalingan (iltifat). Zat Allah yang dipuji lewat kondisi ghaib tadi, kini bagaikan ada di hadapannya.

Dia meneruskan dengan lafaz Iyyaka na’budu....
”Hanya ENGKAU yang aku sembah”.
“Hanya ENGKAU, aku mohon pertolongan.”..........

Dia menyembah dan memohon pertolongan dengan kemuncak ketundukan dan khudu’ kepada Allah atas perkara yang sangat penting.

Hidayah dan jalan yang benar.
------------------
Inilah sebahagian keindahan bahasa Al-Quran. Tidak dapat tidak, kita perlu menguasai bahasa Arab untuk lebih memahaminya.

Dan saya masih konsisten untuk mengajak semua (terutamanya diri saya sendiri) untuk bersungguh-sungguh mempelajari dan mendalami bahasa arab-bahasa Al-Quran-.
Bahasa dari langit.

Keindahan, keistimewaan, kemukjizatan Al-Quran hampir mustahil dapat difahami dengan baik secara keseluruhannya jika kita tidak memiliki ilmu alat yang penting ini.

Wallahu’alam.

-sayabudakmasihbelajar-

No comments:

Post a Comment