Sunday, March 15, 2015

Lailatu Qadr

Baru-baru ini sempat menonton satu ‘talk show’ Imam Suhaib Web (atau Abang Suhaib Web dari kampung Amerika.Kadang2 beliau memperkenalkan diri begini wink emoticon )
Topik hari itu tentang Ramadan dan Lailatul Qadr. Sangat menarik.

Boleh dikatakan beliau antara ‘scholar’ yang saya suka cara penyampaiannya. Salah satu sebab ialah kerana beliau kerap mengaitkan ayat-ayat Al-Quran dengan ilmu Balaghah.

[ Ilmu Balaghah itu, apa?]

Ilmu Balaghah itu salah satu daripada cabang ilmu Bahasa Arab. Ia mengetengahkan tentang gaya bahasa atau uslub yang digunakan dalam pembicaraan dan penulisan.

Alhamdulillah, saya dan beberapa rakan Basooir sempat menadah kitab kecil tentang ilmu Balaghah bersama guru kami Maulana Zaharudin Nawi. Walaupun pada peringkat permulaan subjek ini kadang kala memeningkan kepala tetapi saya tak boleh nak menolak yang ia satu subjek yang sangat menarik dan mengujakan!

Apabila Imam Suhaib Web sentuh sedikit aspek balaghah dalam surah Al-Qadr dalam ‘talk show’nya, saya ‘excited terlebih’. Tak berkelip mata melihat dan tegak telinga cuba menangkap setiap butir bicara. Almaklum, konon dah belajar ilmu balaghah tentulah teruja nak praktis ilmu yang ada walaupun sedikit.

Imam Suhaib menyebut bahawa Allah mengulang-ulang perkataan ‘Lailatul Qadr’ (ليلة القدر) dalam surah itu sebanyak 3 kali tanpa menggunakan kata gantinama. Sebetulnya untuk menyebut ‘lailatul Qadr’ yang seterusnya boleh juga digantikan dgn kata ganti nama.

Contohnya seperti ayat, ‘Ali makan nasi. ‘Dia’ makan dengan tertib. ‘Dia’ makan menggunakan tangan 
kanan.

Tetapi Allah memilih untuk mengulang-ulang perkataan ‘lailatul qadr’ tanpa menggunakan kata ganti nama.

[Apa faedahnya? Atau Apa rahsianya?]

Seni dan ilmu seperti inilah yang dikaji oleh ulama-ulama terdahulu. Seterusnya ilmu ini dibincangkan dalam Pengajian Balaghah di bawah ilmu Ma’ani .

[Apa itu Ilmu Ma’ani?]

Ilmu Ma’ani membahaskan tentang cara penyusunan kalimat agar sesuai dengan tuntutan dan keadaan. Di bawah ilmu Ma’ani memang ada perbincangan khusus tentang التكرار (Pengulangan). Ia menerangkan tentang fungsi dan faedah takrar (التكرار) atau pengulangan.

Antaranya ulama menyebut faedah التكرار pada frasa ليلة القدر (lailatul qadr) adalah untuk makna tanbih (beri peringatan) dan takzim (mengagungkan).

Apakah maknanya?

Maknanya pengulangan perkataan ليلة القدر untuk memberi peringatan kepada pembaca Al-Quran tentang betapa penting dan hebatnya malam Al-Qadr ini.

Pengulangan ليلة القدر juga untuk memberitahu betapa agungnya malam ini berbanding malam-malam yang lain.

Subhana-Allah.

Indah dan mempesonakan, bukan. Ini baru sedikit sahaja ilmu dari cabang-cabang ilmu Bahasa Arab yang ada. Mendalami Bahasa Arab amat membantu kita memahami dengan lebih baik ayat-ayat Al-Quran. Ia juga menambahkan ‘zouq’ atau rasa ketika membaca dan menghayati Al-Quran.

Hal-hal seperti inilah yang membuatkan cinta saya kepada Bahasa Arab kian mendalam pada setiap detik waktu.

Sahabat-sahabatku yang baik, marilah belajar Bahasa Arab. Sukar untuk saya gambarkan kenikmatan dan keindahan mempelajarinya. Kita semua hanya perlukan langkah pertama, sedikit bersabar,dan istiqamah. Seiring dengan ini semua mohonlah doa dan pertolongan daripada Allah agar dipermudahkan niat dan usaha kita untuk belajar Bahasa Arab.


Wallahu’alam.
Mariam MS
22 Ramadan 1435H
20 Julai 2014

No comments:

Post a Comment